HARI PROFESION TEKNIKAL NEGARA JKR 2018
Date: Selasa, Disember 4, 2018
Jabatan Kerja Raya (JKR) buat julung kalinya pada tahun ini telah menganjurkan Hari Profesion Teknikal Negara JKR 2018 (HPTN JKR 2018) pada hari Selasa, 4 Disember 2018 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.
Program dua (2) hari yang diadakan sehingga Rabu, 5 Disember 2018 ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan diiringi oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Anuar bin Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato' Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sr. Aziz bin Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia dan YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Asri Bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan serta pegawai – pegawai kanan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya. Hadir sama Yang Berhormat Datin Mastura binti Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 3 Oktober 2018 bersetuju dengan mengisytiharkan Hari Profesion Teknikal Negara pada hari Sabtu pertama bulan Disember setiap tahun bagi memperingati penubuhan JKR pada 3 Disember 1872. Objektif utama program HPTN JKR 2018 adalah untuk menghargai sumbangan dan khidmat bakti serta peranan para Profesion Teknikal dalam usaha membangunkan Negara. Selain itu, HPTN juga sebagai platform kepada Profesion Teknikal menyuarakan pandangan dan idea-idea bernas serta peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat bagi meningkatkan martabat dan taraf Profesion Teknikal.